Kuda Trojan Dicabar

Dipetik dari Harakahdaily.net

PULAU PINANG, 5 Julai (Hrkh) - Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Bahagian Kepala Batas, Amirzudin Ahmat mencabar bekas Ketua AMK, Ezzam Mohd Noor membuka kesemua enam koak hitam yang dikatakan mempunyai kes membabitkan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Dulu beliau sanggup merengkuk dalam penjaja ekoran mendedahkan dua nama iaitu Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Rafidah Aziz dan bekas Menteri Besar Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

"Saya cabar Ezzam untuk dedahkan enam kotak hitam yang dikatakan 'kotak rasuah' kepimpinan Umno. Dulu dia merasa bimbang ditahan tapi sekarang dedahlah," ujarnya kepada media sejurus selepas membuat laporan polis berhubung akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam terhadap Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang semalam.

Tegas Amirzudin lagi, sekarang ini apa yang Ezzam hendak bimbangkan kerana beliau kini bersama jentera serta bekerja untuk menangkan BN.

Ezzam sepatutnya, mengambil peluang ketika berada dalam BN mendedahkan kotak hitam yang dimaksudkan, baru tindakannya selari dengan hasrat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu membanteras rasuah sehingga ke akar umbi, katanya.

Tetapi, beliau nampak gayanya seolah-olah mengetepikan kotak hitam yang diperkatakan ketika dalam kepimpinan KeAdiLan dan sekali gus menampakkan sikapnya yang tidak jujur dalam perjuangan, tambahnya.

"Sebenarnya kita tahu siapa Ezzam dari dalam hingga luarnya. Beliau hanya pekerja biasa dalam Umno sedangkan beliau merupakan aset penting untuk menghentam Kerajaan Pakatan Rakyat yang memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum lepas," katanya yang pernah menjawat Ketua AMK Negeri ketika Ezzam ketua AMK Pusat.

Tambahnya, dari dulu Ezzam hidup atas tanggungan orang lain bukan beliau berdikari sebagaimana kepimpinan lain.

Semua keperluanya ditaja oleh individu kaya termasuk keluarga, kenderaan dan ke mana sahaja beliau pergi ke pelusuk tanah air untuk berceramah.

Sekarang ini jelasnya, individu terbabit telah menarik balik segala kos tanggungan yang diberikan berikutan tindakan Ezzam Mohd Noor menyertai Umno semula.

"Perbandingan kita dengan Ezzam ialah beliau pekerja yang dibayar gaji untuk melaksanakan tugasan parti tetapi kita adalah jentera sebenar yang sanggup habis wang ringgit demi melihat parti dipertingkatkan. Sampai kini saya tahu siapa yang bayar," kata beliau.

Bersama membuat laporan polis ialah Naib Ketua AMK Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir.

Laporan itu dibuat di hadapan pegawai polis, Amrita Kaur a/p Hernek Singh pada pukul 2.42 petang.

Semalam laporan itu dibuat serentak di seluruh Malaysia lanjutan akuan bersumpah P. Balasubramaniam di Kuala Lumpur. - mns _

1 comments:

man_helang berkata...

salam bro...

agak2nya dia nak sahut tak cabaran tu??? kalau tak silap aku kuda trojan ko tu kata dia pantang dicabar, tak suka mendedahkan keburukan org, tp kalau dah terdesak dia akan bertindak...ble agaknya ye dia akan bertindak??? nak tunggu kucing bertanduk ker???