Open Source Jimatkan RM32 juta



Perisian sumber terbuka jimatkan RM32 juta - Mohd Sidek
05/11/2008 9:06pm

PUTRAJAYA 5 Nov — Pelaksanaan inisiatif perisian sumber terbuka (OSS) oleh agensi dan jabatan kerajaan membolehkan kerajaan menjimatkan RM32 juta, termasuk penjimatan sebanyak RM10 juta dalam projek perintis dan pelaksanaan OSS di 15 agensi sejak 2004.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata penjimatan itu turut merangkumi RM22 juta yang meliputi penggunaan perisian “OPenOffice” ke atas 10,682 komputer dan pengunaan 174 produk Open Source Competency Center (OSCC).

Katanya peningkatan penggunaan OSS mampu meningkatkan perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat (ICT), sekaligus membangunkan industri ICT tempatan secara keseluruhan.

“Peningkatan ini mampu menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membantu melonjakkan negara ke status negara maju dengan lebih cepat.

“Penggunaan OSS juga merupakan penyelesaian alternatif yang lebih kompetitif, saling beroperasi dan menjimatkan perbelanjaan pelaksanaan ICT,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perisian Sumber Terbuka Kerajaan Malaysia (MyGOSSCON) 2008 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Datuk Normah Md Yusof.

Mohd Sidek berkata adalah amat penting untuk jabatan dan agensi kerajaan mencari jalan untuk melakukan penjimatan dalam apa jua perbelanjaan, selaras dengan kedudukan ekonomi global yang kurang mantap pada ketika ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab ketua agensi untuk merancang pembangunan dan pelaksanaan semua projek termasuk ICT,” katanya.

Beliau berkata penggunaan OSS tidak hanya terhad kepada jabatan dan agensi kerajaan, bahkan ia turut mampu meningkatkan perkhidmatan ICT institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA & IPTS) menerusi kolaborasi bersama sektor awam dan swasta.

“Kolaborasi seperti ini boleh menghasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan berinovatif bagi memenuhi keperluan perkhidmatan awam,” katanya.

— BERNAMA

0 comments: