Bayaran tol Kesas maksimum RM15 sehala 2021

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Pemandu kenderaan kelas pertama di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) bakal membayar tol maksimum RM15 sehala atau RM5 di setiap plaza tol lebuh raya itu menjelang dua tahun terakhir tempoh konsesi yang akan tamat pada 2022.

Dalam perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat konsesi lebuh raya itu, Kesas Sdn. Bhd. yang dimeterai pada 19 November 1993, kadar bayaran tol yang dipersetujui meningkat setiap dua tahun dari RM1 pada 1997 kepada RM5 pada 2021.

Dokumen perjanjian asal itu turut disertakan dengan perjanjian tambahan yang ditandatangani pada 14 April 1995 yang menyatakan bahawa kerajaan menyediakan pinjaman sokongan sebanyak RM80 juta kepada Kesas bagi membolehkan syarikat itu mempercepatkan pembinaan Pakej B lebuh raya itu.

Perjanjian konsesi tersebut adalah antara 22 perjanjian yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan dikelaskan semula mengikut Seksyen 2C akta berkenaan yang membolehkan ia didedahkan kepada umum.

Di dalam jadual kadar tol yang dipersetujui, pada tahun ini, Kesas sepatutnya menaikkan kadar tol semasa RM2.20 kepada RM2.50 mulai 1 Januari lalu dan terus meningkat kepada RM2.80 pada 2011-2012 dan seterusnya RM3.10, RM3.50, RM4, RM4.50 dan akhirnya RM5.

Perjanjian itu menyatakan kerajaan boleh memutuskan bayaran tol yang lebih tinggi atau rendah daripada kadar yang dipersetujui dengan memberi notis kepada Kesas dua bulan sebelum pengisytiharan bayaran tol itu.

Bagaimanapun, setiap pengumuman kadar tol yang lebih rendah, kerajaan perlu membayar pampasan pengurangan kutipan tol bagi tahun konsesi berkenaan dengan mengambil kira kadar pertumbuhan dan jumlah kenderaan di lebuh raya itu.

Namun, Klausa 16.3 perjanjian itu menyatakan bahawa syarikat pemegang konsesi boleh mengurangkan kadar tol secara sukarela atas sebarang sebab atau bagi tempoh tertentu tanpa memerlukan kerajaan membayar ganti rugi.

Dokumen perjanjian konsesi tersebut setebal 68 muka surat tidak termasuk 16 lampiran, enam jadual dan dua perangkaan menggariskan butiran pelaksanaan pembinaan dan penyelenggaraan projek Lebuh Raya Shah Alam.

Perjanjian konsesi lebuh raya itu ditandatangani bagi melaksanakan hasrat kerajaan membina, menyenggara, mengendali dan mengurus Lebuh Raya Shah Alam secara penswastaan dengan semua kos ditanggung oleh syarikat konsesi.

Lebuh raya berkenaan dibina dalam dua pakej iaitu Pakej A sepanjang 19 kilometer bermula dari Sri Petaling Timur ke Subang Barat dan Pakej B sepanjang 16 kilometer dari Subang Barat ke persimpangan Jalan Langat, Klang.

Kesas Sdn. Bhd. diwujudkan khusus bagi tujuan berkenaan oleh sebuah konsortium yang diberi tender melaksanakan projek itu.

Konsortium tersebut terdiri daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Gamuda Berhad, Percon Corporation Sdn. Bhd. dan Arab-Malaysian Development Berhad.

Pada 18 November tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, semua syarikat konsesi lebuh raya kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya, bersetuju mendedahkan kepada umum perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat terbabit kepada umum.

Dokumen perjanjian tersebut boleh disemak mulai 1 Januari lalu di Perpustakaan Kementerian Kerja Raya, Tingkat 6, Blok B, Kompleks Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin di sini.

0 comments: