Adakah YB Ibrahim Ali Melompat Lagi????????

Persoalanan yang timbul sekarang ini, adakah YB Ibrahim Ali - MP Pasir Mas akan melompat lagi. Sekiranya beliau melompat, ini bermakna ia memperbaharui rekod lompat katak yang dipegang oleh beliau yang sudah sekian lama.

Utusan Online...

Pemimpin UMNO setuju terima semula Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR 23 Feb. - "Kita tak ada masalah nak terima dia (Datuk Ibrahim Ali) semula, lebih-lebih lagi dalam keadaan UMNO kini memerlukan sokongan padu."

Itu pandangan beberapa pemimpin parti mengenai cadangan supaya Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dibenarkan kembali kepada UMNO.

Ini kerana langkah tersebut dilihat mampu mengukuhkan kedudukan UMNO ketika ini selain mengharapkan ada lagi bekas ahli parti yang menurut jejak langkahnya.

Ketua Penerangan parti, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, UMNO memang memerlukan tokoh seperti Ibrahim bagi menguatkan kedudukan parti di mata orang Melayu ketika ini.

Katanya, sebagai orang lama dan berpengalaman, selain pernah keluar masuk UMNO, kebolehan dan kecekapan Ahli Parlimen itu tidak perlu diragui.

Malah katanya, kelantangan beliau membela dan memperjuangkan agenda Melayu selama ini memang sudah terbukti.

"Secara peribadi saya mengalu-alukan jika dia nak masuk UMNO semula dan berharap dia mempertimbangkan tawaran itu demi kebaikan orang Melayu dan UMNO," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Najib Rashdan Abdul Rahman yang mencadangkan agar Ibrahim diterima semula menyertai UMNO.

Najib menyifatkan Ahli Parlimen Bebas itu sebagai pejuang Melayu tulen yang sukar dicari ganti dan amat rapat dengan penduduk di Pasir Mas selain banyak membawa perubahan pembangunan di kawasan itu.

Menurut Muhammad, UMNO sememangnya memerlukan tenaga, buah fikiran dan semangat seperti Ibrahim untuk membawa parti ke satu tahap yang lebih tinggi.

Katanya, tidak timbul siapa guna siapa, kerana Pas dulu pun pernah menggunakan Ibrahim untuk kepentingan agenda politik mereka.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli parti supaya tidak memandang sinis terhadap cadangan supaya Ibrahim dibenarkan menyertai semula UMNO.

"Secara peribadi saya bersetuju jika dia masuk UMNO tetapi terpulang kepada dirinya sendiri untuk menentukan," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, beliau mengharapkan akan ada lagi orang seperti Ahli Parlimen Pasir Mas itu mahu menyertai UMNO semula.

"Kalau ada ramai yang nak masuk lagi bagus, sekurang-kurangnya UMNO ada majoriti dua pertiga di Parlimen nanti," katanya.

Calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Mohammad Khir Toyo juga bersetuju dengan cadangan itu dan berharap Ibrahim menimbang tawaran itu dengan sebaik-baiknya.

Katanya, tawaran tersebut juga merupakan satu petanda baik kepada UMNO untuk meraih semula popularitinya yang terjejas selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Ujarnya, apa yang berlaku kepada Ibrahim sebelum ini tidak perlu lagi diungkit dan menganggapnya sebagai sejarah.

"Secara peribadi saya sangat setuju jika dia kembali kepada UMNO dan menjadi impian saya juga untuk melihat semua orang Melayu di negara ini menjadi ahli UMNO,'' katanya.

1 comments:

singamaraja berkata...

SOS

DUN PERAK BERSIDANG DI BAWAH POKOK