Kuda Trojan : Al-Fatihah



Tokoh Kewartawanan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 6.35 petang ini kerana jangkitan paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan sepanjang tempoh itu terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan.

Meskipun beliau lebih dikenali sebagai wartawan, arwah juga adalah seorang pengarang kreatif. Allahyarham terlibat dalam bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun. Antara cerpen awalnya terkumpul dalam antologi Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963).

Cerpen dekad 1960-an beliau dapat dibaca menerusi dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).

Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Penglibatan arwah Pak Samad untuk menyedarkan umat Islam dalam peristiwa memurtadkan Natrah telah menyebabkan beliau dipenjara British pada tahun 1951. Beliau juga dapat dianggap sebagai 'pejuang kemerdekaan' menerusi karya sasteranya, juga penglibatan beliau dalam (PUTERA) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi. Arwah juga adalah salah seorang mangsa akta zalim ISA, di mana pernah ditahan tanpa bicara, atas tuduhan menyokong komunis.

0 comments: