Harap Ezam bukan 'hadiah kuda Trojan'

Dipetik dari Utusan Online (1 Jun 08)

MUAR 31 Mei - UMNO berharap tindakan beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai semula UMNO adalah ikhlas dan bukan satu perangkap seperti 'hadiah kuda Trojan'.

Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun terdapat segelintir pihak yang beranggapan kemasukan semula pemimpin itu dalam UMNO sebagai menguntungkan parti namun beliau berharap mereka terbabit ikhlas apabila menyertai semula parti itu.

Tanpa menaruh sebarang syak wasangka terhadap penyertaan dalam UMNO itu, beliau bagaimanapun berkata, keputusan sama ada permohonan pemimpin-pemimpin itu diterima sebagai ahli hanya akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) yang akan bersidang.

"Bagi saya, istilah 'hadiah kuda Trojan' hanyalah sejarah Roman suatu ketika dahulu namun semua ahli dan pemimpin parti perlu berwaspada agar ia tidak berlaku dalam UMNO.

"Permohonan beberapa pemimpin pembangkang untuk masuk UMNO semula bagi saya tidak menimbulkan kesangsian, namun mereka yang mempunyai rekod dalam parti perlu melalui proses biasa iaitu dibincangkan (dalam MT) sebelum diterima semula," katanya di sini hari ini.

Kuda Trojan bermaksud muslihat tentera Greek menghadiahkan kuda kayu Trojan berisi tentera yang akhirnya menawan bandar Troy.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu ditanya mengenai tindakan beberapa pemimpin PKR termasuk bekas Ketua Angkatan Mudanya, Mohamad Ezam Mohd. Noor yang memohon untuk menyertai semula parti itu, baru-baru ini.

Menurut Muhyiddin, beliau sendiri ditanya oleh ahli-ahli UMNO mengapa parti itu begitu mudah menerima semula kemasukan bekas pemimpin parti pembangkang terbabit.

Katanya, ahli-ahli juga bertanya kenapa Mohamad Ezam diberi keistimewaan untuk menyerahkan sendiri borang keahlian kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Ramai ahli UMNO yang memberikan reaksi berbeza berhubung isu ini, ada yang setuju, ada yang tidak setuju dan menyifatkan kita seperti sebuah pasar. Bagi saya, biarlah MT yang buat keputusan," katanya.

0 comments: